Isnin, 2 Mei 2011

9.0 PERBEZAAN MATLAMAT DAN TUJUAN HAK ASASI MANUSIA DARI PERSPEKTIF SYARIAH BERBANDING PEMIKIRAN BARAT

Perlu dinyatakan bahawa terdapat perbezaan matlamat di antara hak asasi manusia yang ditinjau dari sudut Tasauwur Islami dan dengan hak asasi manusia berasaskan pemikiran Barat. Matlamat perakuan hak dari perspektif Barat ialah untuk memperkasa nilai hidup Barat dengan penekanan kepada kepentingan hak berkenaan dan keperluan menyebarluaskannya. Termasuk dalam matlamat mereka juga ialah untuk menjadikan nilai tamadun Barat sebagai sumber sistem sosial dan pembentukan tamadun dunia ini, dengan andaian bahawa hak-hak tersebut muncul dan lahir daripada tamadun Barat itu sendiri. Lebih jauh, catatan perkembangan sejarah pemikiran mengenai hak manusia di Barat menjelaskan bahawa maksud sebenar usaha mengabsahkan (legalize) hak asasi manusia ialah untuk merealisasikan segala matlamat dan nilai Barat yang menjadi ciri utama bangsa serta kumpulan tertentu yang hidup di Barat.

Perisytiharan hak asasi manusia datang seiring dengan kemunculan revolusi Perancis. Perisytiharan tersebut bertujuan untuk melepaskan rakyat daripada belenggu dan kongkongan politik golongan bangsawan, raja dan pemerintah tirani Perancis. Hak-hak ini juga muncul sejajar dengan kelahiran karya-karya pemikir Reformis Agama Protestan di Eropah. Golongan ini pula berusaha keras menentang pengaruh gereja dengan cara menegaskan bahawa manusia mempunyai hak natural atau tabii. Manusia menurut mereka memiliki kedaulatan yang tidak dibatasi oleh mana-mana kedaulatan lain; baik sebagai golongan bangsawan, golongan raja mahupun agama.

Sebenarnya dari sudut perkembangan sejarahnya, adalah menjadi hasrat para penatar konsep hak asasi manusia di Barat untuk menekankan nilai dan prinsip yang digagaskan oleh para pemikir golongan Kapitalis di Eropah. Matlamat ini mahu diperkasa dan dimantapkan lagi dalam perkembangan pemikiran di Barat seterusnya dalam era pertembungan pemikiran dengan prinsip dan aliran Sosialisme dan Komunisme.

Aspek ini juga sering dieksploitasi secara politik bagi mencorakkan hubungan antara bangsa kini di antara Negara blok Barat dengan Negara blok Timur. Perkara ini juga dijadikan alasan untuk memaparkan kepincangan hak yang dinikmati oleh golongan minoriti tertentu di mana-mana negara di dunia ini bagi mengancam dan menggugat rejim pemerintah tertentu di negara dunia ketiga.

Sebenarnya hak asasi manusia di Barat bukanlah cetusan daripada prinsip undang-undang yang tetap untuk menyelesaikan masalah realiti manusia. Bahkan ia bukan bermaksud untuk meraih matlamat luhur manusia sejagat.

Ini berbeza dengan konsep hak dalam syariat Islam. Hak manusia sangat berkaitan dengan tujuan pokok syariat; untuk merealisasikan 'ubudiyyah atau penyembahan makhluk manusia kepada Allah, melindungi Maqasid as-Syariah yang tersimpul dalam perlindungan terhadap lima kepentingan asas manusia iaitu melindungi agama, nyawa, akal, harta dan nama baik. Juga untuk menyempurnakan keperluan wujud melalui penggubalan peraturan mengenai hubungan manusia dalam pelbagai bidang muamalat. Akhirnya ialah untuk menyempurnakan keperluan tahsiniyyat yang melengkap dan meningkatkan lagi kualiti kehidupan manusia melalui keutamaan akhlak dan pengukuhan budi bahasa.

Dengan penjelasan kita terhadap perbezaan di antara tasawwur, susun atur dan perlaksanaan hak-hak dalam syariat Islam berbanding manhaj pemikiran Barat, maka ketaralah kesilapan anggapan segolongan para pemikir dan penulis yang mengandaikan wujudnya persamaan antara hak tabii perspektif Barat dengan hak manusia dari perspektif syariat. Antara yang beranggapan demikian ialah Dr Ahmad Jalal Hamad. Beliau menegaskan:

"Apa yang dipanggil oleh pemikir Barat sebagai undang-undang tabii sebenarnya tidak ada bezanya dengan pengertian Islam terhadap apa yang dipanggil peraturan Allah yang abadi untuk seluruh manusia dan tetap unggul mengatasi segala undang-undang lain. Ada kemungkinan besar para pemikir undang- undang tabii di Barat telah mencedoknya daripada kalangan orang Islam ketika wujud pertemuan tamadun Barat danTimur di Andalusia ( pada satu masa dahulu)."

Pada hal, sebenarnya titik-tolak hak manusia di Barat ialah hak tabii yang sangat berkait dengan perihal diri dan individu subjektif seseorang dari sudut tabiinya; terlepas daripada masalah konsep atau manhaj. Berbeza dengan hak syar'i manusia dalam Islam, ia bersandarkan kepada penghormatan dan Takrim Ilahi kepada manusia itu sendiri. Ia berhubung rapat dengan konsep 'Ubudiyyah; perhambaan manusia kepada Allah dan kepatuhannya kepada syariat gubalan-Nya di samping ketaatannya kepada Rasulullah s.a.w. Perbezaan ini semakin jauh apabila kita merujuk kepada penyifatan undang-undang, pencerakinannya yang terperinci, masalah Maqasid dan kesan hukum yang berkaitan dengannya.

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum,..sy nak tanya,.apakah persamaan hak asasi dr perspektif Islam dan barat?

    BalasPadam
  2. assalamualaikum,saya ingin bertanyakan bahan rjukan apakah yg saudara/ri gunakan dlm artikel ini?

    BalasPadam