Isnin, 2 Mei 2011

2.0 DIFINISI DAN MAKSUD HAK ASASI MANUSIA

Hak Asasi Manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia .Hak Asasi Manusia bersifat sejagat tidak boleh dibahagikan dan saling bergantungan . Hak asasilah yang menjadikan kita manusia dan menurut Kamus Dewan hak asasi ialah hak yang dasar atau pokok seperti hak bebas mengeluarkan pendapat, menganut sesuatu agama, bergerak dan lain-lain. Contoh yang diberi itu sebenarnya hanya merujuk kepada makna tradisi hak asasi manusia. Dengan perkembangan zaman, makna hak asasi harus diberi tafsiran yang lebih luas.

2.1 PENAFSIRAN MODEN

Terdapat tiga dokumen penting berkenaan Hak Asasi Manusia iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan 1966. Dalam kedua-dua kovenan antarabangsa tersebut, hak asasi manusia tidak terbatas kepada hak-hak berikut:

(1) Hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-undang adalah hak sivil dan berpolitik
(2) Hak kepada pendidikan, pekerjaan dan rekreasi, hak menikmati perkhidmatan yang minimum berkenaan kesihatan, tempat tinggal serta persekitaran yang selamat adalah Hak sosial, kebudayaan dan ekonomi.
Konsep kontrak sosial menggariskan hubungan antara ahli-ahli masyarakat di mana setiap ahli melepaskan hak individu tertentu untuk mendapatkan keselamatan sosial yang bersifat kepentingan ramai. Pemikiran Rousseau ini telah menampakkan pengaruhnya dalam pemikiran hak asasi moden. Maka sepanjang pembentukan tamadun moden, imbangan antara hak individu dan hak ramai merupakan topik utama dalam perdebatan berkenaan hak asasi manusia.

2.2 Tafsiran Setiausaha Agung
Hak asasi manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia. Hak asasi manusia bersifat sejagat, tidak boleh dibahagikan dan saling bergantung. Hak asasilah yang menjadikan kita manusia. Berteraskan prinsip hak asasi manusialah kita membina kesucian maruah manusia.

2.3 Perbezaan Model kognitif Dalam Konsep Hak Asasi Manusia
Hak asasi manusia mulai mendapat tempat di arena antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia.
Kumpulan lain juga menerima pakai piawaian hak asasi manusia. Komuniti Europah (European Community) misalnya telah mendeklarasikan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah.

Sementara itu, Majlis Islam juga telah mengisytiharkan Perisytiharan Islam terhadap Hak Asasi Manusia yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Perisytiharan ini lebih mementingkan semangat ummah yang membawa konsep komuniti. Setiap hak asasi manusia yang ditera dalam perisytiharan itu membawa bersama tanggungjawab tertentu. Dalam setiap hak asasi manusia yang tertera, semua pihak adalah tertakluk kepada batasan untuk memenuhi syarat moral, ketenteraman awam serta kebajikan ummah.

Bagi tamudun lama Cina pula, susunan masyarakat berasaskan persetujuan dalam keluarga, kemudian dilanjutkan persetujuan itu ke peringkat kampung dan negara. Susunan masyarakat Cina yang berasaskan fahaman Confucius sememangnya berbeza dengan di negara-negara Barat yang lebih individualistik.

Perbezaan dari satu tamadun ke tamadun yang lain menampakkan perbezaan persepsi antara hak asasi manusia. Di satu pihak terdapat unsur individualistik yang mementingkan hak individu dan bersifat bertentangan dengan hak ramai. Di satu pihak yang lain pula terdapat semangat komuniti yang tinggi yang mementingkan hak ramai daripada hak individu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan